Sunday, 7 August 2016

Adam & Hawa


Aisya Sofea tidak asing lagi dengan novel cinta yang menyentuh hati. Hasil penulisan beliau iaitu Adam dan Hawa mengisahkan Ain Hawani yang terpaksa mengakhiri zaman bujangnya ternoktah seawal usia remaja. Hanya kerana mungkin tersilap langkah timbul prasangka buruk menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu seperti mengiakan apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela. Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya sekadar dalam kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari ketenangan dan harga diri. Adam ditinggalkan sendiri yang menyebabkan saban hari rindunya semakin membuak-buak.
Ain menjadi wanita keras hati. Hatinya tidak mahu berpatah balik. Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan pintu Masjidilharam, di Mekah yang merupakan semulia-mulia tempat. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan sekian lama. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang ditunggu. Apabila mereka pulang ke Malaysia, Ain dan Adam kerap bertemu yang menyebabkan cinta mereka kembali bertaut. Kesudahan dalam novel Ain dan Adam bersatu juga akhirnya setelah sekian lama terpisah, dan mereka dapat anak perempuan. Seperti kata ibu Ain:- “Adam memang untuk Hawa”.

Ulasan: Sebuah penulisan dalam genre cinta yang berat. Memperlihatkan seorang wanita yang memperjuangkan maruah diri kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab seorang lelaki. Berlatarkan latarbelakang Masjidilharam sangat menyentuh jiwa. Sedih, sayu dan gembira diadunkan di dalam novel ini.

No comments:

Post a Comment