Sunday, 7 August 2016

Ayat-Ayat Cinta


Novel tulisan Habbiburrahman El Sherazy ini mengisahkan kehidupan seorang pemuda Indonesia yang belajar di Universiti Al Azhar Mesir yang penuh dengan dugaan dan ujian. Namanya Fahri, sedang menunggu tesisnya diterima oleh pihak Universiti Al-Azhar untuk melanjutkan ke peringkat Master dan terus phD. Tinggal bersama pelajar Indonesia 4 orang yang masih belajar Ijazah Sarjana Muda, Fahri dan rakan-rakannya hidup berjiran bersama sebuah keluarga yang beragama Kristian Koptik dan sangat baik dengannya. Maria, anak perempuan keluarga tersebut menyimpan perasaan pada Fahri, dan perasaannya membuak-buak selepas Fahri menghadiahkan ibu dan adik Maria hadiah harijadi. Keluarga Maria pula membalas dengan menjemput mereka semua makan di restoran elite yang tidak pernah mereka jejaki, dan sejak itu Maria terasa sangat dekat dengan Fahri. 
Sementara itu pertemuan Fahri dengan Aisha tidak sengaja di dalam LRT. Dari situlah Aisha berkenalan dengan Fahri, dan secara tak sengaja Fahri menyebut nama ayah saudara Aisha, iaitu Herbakan. Tidak lama selepas pertemuan itu, Sheikh Ahmad mengajukan persoalan jodoh pada Fahri. Fahri hanya menerima cadangan Sheikh Ahmad tanpa melihat pada foto yang diajukan padanya. Dia berserah. Dalam masa yang sama, Noura pula mencurahkan perasaan pada Fahri dalam surat terimakasih pada Fahri. Fahri tidak dapat menerima perasaan tersebut. Pernikahan Aisha dan Fahri berjalan lancar di masjid Abu Bakar. Aisha rupa-rupanya bukan sebarang wanita. Dia adalah wanita elite yang mempunyai kemewahan berjuta-juta dolar. Fahri terkejut dan sedih mengenangkan tanggungjawabnya, namun Aisha seorang wanita yang bepekerti mulia, dia memujuk Fahri dengan menceritakan kisah Khadijah mengahwini Nabi Muhammad saw.
Baru 2 bulan mereka bernikah Aisha disahkan mengandung. Fahri telah dikhianati yang menyebabkan dia ditangkap atas tuduhan memperkosa Noura. Dia diseksa di dalam penjara dan Ijazah Sarjana Mudanya ditarik balik. Sementara itu Maria yang merupakan satu-satunya saksi utama pula jatuh sakit setelah mengetahui pernikahan Fahri. Kebanyakan saksi yang lain semuanya menuduh Fahri melakukan jenayah. Sementara itu ibu-bapa Maria memohon pertolongan Fahri untuk menaikkan semangat Maria di hospital. Doktor mengatakan dengan hanya bersuara dan menyentuh Maria dapat menyedarkan dan memulihkan semangat Maria. Fahri bernikah dengan Maria di hospital dengan izin Aisha. Maria berjaya dipulihkan untuk dibawa sebagai saksi di mahkamah. Akhirnya Fahri berjaya dalam kes tersebut, dan ternyata yang menghamili Noura adalah ayahnya sendiri. Selepas itu, Maria jatuh pengsan di mahkamah, dan dibawa ke hospital. Maria bermimpi dia telah dihalang dari memasuki syurga. Rupa-rupanya Maria sudah lama memeluk islam, tetapi tidak mempraktikanya. Dia bertaubat, dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Ulasan: Penulis novel ini berjaya menggambarkan latar sosiobudaya masyarakat Timur Tengah iaitu Mesir dengan sangat berkesan kepada pembaca. Gaya penulisan yang digarap dari sudut pandang masyarakat Indonesia begitu hidup tanpa perlu menggunakan istilah-istilah bahasa Arab. Gaya bahasanya sangat santun dengan sedikit menggunakan bahasa Arab serta menaikkan imej agama Islam yang suci. Percintaan Maria kepada Fahri tidak terbatas kerana agama malahan sudut poligami diangkat dengan begitu cantik. Wajar sekali novel ini harus dijadikan contoh bagi penulis-penulis muda masa kini.

No comments:

Post a Comment